Monday, March 11, 2013

mencari rezeki tahun 2013

cuba belajar perkara baru..jika xberjaya anggaplah sedekah untuk masa depan.....
jika berjaya ucapkanlah syukur alhamdulillah...
moga ianya berjalan lancar..amin..
p/s: klik untuk ketahui lebih lanjut...insha allah amat bermakna buat anda...

Friday, December 23, 2011

definisi seni,permasalan,penyelesaian dan masa depan di malaysia

1.0  DEFINISI SENI
Seni adalah suatu hal yang berkaitan dengan keindahan. Menurut Hornby, seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah terutama dalam bentuk visual. Seni turut disifatkan sebagai suatu ciptaan atau kegiatan atau penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan bagi melahirkannya dalam bentuk yang nyata. (Martin, 1986:12). Menurut  Herbert Read (1959:16),  menyatakan seni adalah penciptaan bentuk yang menyenangkan, ianya merupakan penjelmaan rasa estetika. [1]
Daripada pandangan sudut agama, dari Imam Muslim melalui penulisan kitabnya iaitu Kitab Al-Iman telah menjelaskan mengenai estetik dan konsep keindahan sebagai pertemuan seseorang yang mempunyai pengetahuan terhadap mesej atau objek yang ditemui. Dalam erti kata lain, ianya bermaksud seni itu adalah suatu bentuk ilmu (pengetahuan) di mana seseorang mempunyai ilmu ataupun pengetahuan seni tersebut akan mencipta serta melahirkan suatu pemikiran dan perasaan terhadap hasil objek yang dihayatinya. Hal ini disebabkan terdapatnya perkaitan antara penggiat dan juga khalayak itu sendiri.[2]
Menurut Herbert Read dalam buku “The Meaning Of Arts” seni merupakan penghasilan rupa bentuk yang dapat menimbulkan keceriaan, keseronokan dan juga ekspresi estetik (art is expression).[3] Ekspresi estetik adalah merujuk kepada kesan yang terhasil daripada penghayatan terhadap keindahan seni visual.  Namun, kesimpulannya, seni itu tetap berkait rapat dengan keindahan dan estestika. Ianya tidak dapat dipisahkan kerana ianya melibatkan perasaan. Keindahan mampu memukau dan mempersonakan hati yang menghayati dari segala pancaindera  kurniaan ilahi.
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, seni didefinisikan sebagai karya (sajak, lukisan, muzik, dan lain-lain hal) yang diciptakan dengan bakat, kebolehan mencipta sesuatu yang indah. Secara tidak langsung mengakui bahawa untuk menghasilkan sesuatu karya seni, bakat dan kebolehan serta penghayatan disamping pemahaman yang jitu adalah penting. Kebolehan adalah sesuatu yang mampu dipelajari dan dibentuk manakala bakat adalah sesuatu anugerah dari ilahi. Namun, kedua-duanya saling berkait rapat dalam menghasilkan suatu produk seni yang mempunyai nilai estestika yang tersendiri. (Pusat Rujukan Persuratan Melayu, (2008) ).[4]

2.0  DEFINISI VISUAL
Visual pula dari segi bahasa bermaksud tampak iaitu yang boleh dilihat melalui deria penglihatan. Ia bukan setakat dapat dilihat tetapi dapat difahami maksudnya atau teknik, cara, kaedah dan mengapa ianya dibuat, fungsinya, rujukannya. Oleh itu, ianya adalah menjurus kepada apresiasi di mana proses pemahaman berlaku secara lisan atau bertulis. Contoh seni tampak adalah seperti catan, lukisan, binaan bangunan, ukiran dan sebagainya.[5]
3.0  DEFINISI SENI VISUAL
Seni visual adalah satu bentuk seni yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti lukisan, fotografi, grafik dan filem. Kebanyakan disiplin kesenian seperti seni persembahan, bahasa dan masakan melibatkan aspek seni visual dan lain-lain seni, jadi definisi seni tidak terhad.
Dengan kata lain seni visual adalah sesuatu hasil atau ciptaan yang boleh dinampak melalui penglihatan mata. Hasil atau karya itu adalah bersumberkan daya fikiran dan kesenian yang mutlak dalam minda seseorang dan seterusnya diterjemahkan kepada objek yang nyata serta boleh dilihat seperti gambar, arca, model dan sebagainya. (Wikepedia Bahasa Melayu).[6]
Dalam Ensiklopedia Malaysiana (1996 ) ialah satu istilah yang digunakan bagi sesuatu yang indah-indah pada pandangan pacaindera manusia samada melalui penglihatan atau pendengaran.[7] Menurut buku Fine art in Islamic civilization (1981), pemikir islam iaitu imam Al- Ghazali memperkatakan bahawa seni itu indah melalui pandangan kecantikan dan keindahan.[8]
Oleh itu penjelasan konsep seni visual bolehlah didasarkan kepada beberapa aspek pernyataan diri ( self expression), pengalaman dan sensasi visual dan sentuh samada dalam bentuk 2D dan 3D. Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).[9]
Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.[10]
Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.
4.0  SEJARAH PENDIDIKAN SENI DI MALAYSIA
Bermulanya pendidikan seni secara formal di negara kita, Malaysia adalah pada tahun 1816. Iaitu sekolah yang terawal mengajar matap pelajaran pendidikan seni ialah ‘Penang Free School’ yang ditubuhkan pada tahun 1816. Pada ketika itu seni diajar mengikut gaya pendidikan barat.
Pendidikan seni terus dikembangkan oleh seorang seniman tersohor negara iaitu Abdullah Ariff. Beliau merupakan seorang guru dan penyelia lukisan di ’Anglo Chinese School’, di Pulau Pinang. Pada tahun 1949, beliau menjadi pengerusi Kesatuan Kesenian Guru Pulau Pinang dan beliau merupakan ahli Penang Impressionist. Seterusnya di Pulau Pinang juga pada tahun 1906, Chong Hua Confusius Pulau Pinang memperkenalkan mata pelajaran seni kaligrafi dan anyaman yang diajar dalam bahasa Cina.
Pada tahun 1916 pula Laporan Winstedt dikeluarkan bagi memperkemas sistem pendidikan rendah di Tanah Melayu. Antara yang dinyatakan di dalam laporan tersebut ialah sekolah melayu dan maktab mengajar mata pelajaran lukisan dan subjek anyaman diletakkan di bawah subjek sains pertanian.
Seterusnya berkembanglah pendidikan seni di negara ini yang dipacu oleh institusi-institusi pendidikan, buku-buku, pertubuhan seni, dan dasar-dasar pendidikan. Antara intistusi pendidikan yang menawarkan pendidikan seni ialah sekolah-sekolah, Sultan Idris Training College (1922), Maktab Perguruan Ilmu Khas Kuala Lumpur(1960), Institut Teknologi Mara (1967), Universiti Sains Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 1997 (yang berasal dari Sultan Idris Training College - Maktab Perguruan Sultan Idris - Institut Perguruan Sultan Idris - Universiti Pendidikan Sultan Idris), dan banyak lagi. Buku-buku yang diperkenalkan bagi mengajar subjek seni antaranya ialah Art and Crafts oleh R.O Winstedt mengenai sejarah seni dan seni pertukangan, Pedoman Guru Penggal Pertama (1928) oleh Winstedt juga yang berkenaan pengajaran lukisan dan kerja tangan, buku Craft Work 1932 Third Year Practical Ork for Senior Schools yang ditulis oleh Taylor dan Snell, Buku Panduan Guru 1957 terbitan Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu dan Dewan Bahasa dan Pustaka, The Art Paper (1958) oleh Marjorie Clark dan W.T. Swinbanks yang diterbitkan oleh Donald Moore dan seterusnya terdapat pelbagai buku lagi yang diterbitkan.
Pendidikan seni di negara kita juga dipacu oleh kewujudan pertubuhan dan institusi seni. Antaranya ialah Wednesday Art Group (1951) yang diasaskan oleh Peter Harris (seorang pengawas seni lukis di Kementerian Pelajaran),[11] Majlis Kesenian Malaya (1952) yang diasaskan oleh Tan Sri Mubin Sheppard dan Datuk Zainal Abidin Hj. Abbas, Penang Teachers’ Art Circle, Malay Teachers Union (1954), Thursday Art Group (1957), Balai Seni Lukis Negara, dan lain-lain.
Dasar kerajaan juga memainkan peranan penting dalam perkembangan pendidikan seni misalnya Penyata Rahman Talib.[12] Pihak yang memainkan peranan sebagai pusat perkembangan kurikulum yang bertanggungjawab menggubal kurikulum pendidikan seni adalah Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ini membuktikan bahawa mata pelajaran pendidikan seni adalah antara mata pelajaran yang penting sejak dahulu lagi terutama sekali sewaktu zaman penjajahan British kerana orang Barat memandang seni dalam ruang lingkup dan skop yang luas. Bagi mereka, seni adalah sesuatu yang serius dan penting. Oleh itu, pemikiran seperti inilah yang harus diterapkan dan ditanam dalam minda masyarakat di Malaysia.[13]
5.0 IMPLIKASI   PENDIDIKAN SENI VISUAL DIPANDANG RENDAH
Banyak kesan yang timbul ekoran berlakunya salah faham terhadap mata pelajaran pendidikan seni. Ramai ibu bapa, guru mata pelajaran lain dan masyarakat tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan dengan seni, maka mereka mula memberi makna yang salah. Justeru, tugas guru pendidikan seni adalah dengan membetulkan kembali tanggapan mereka tentang seni visual itu sendiri bagi meningkatkan nilai pendidikan seni di mata masyarakat dan negara.
6.0 FAKTOR PENDIDIKAN SENI VISUAL DIPANDANG RENDAH
Pada masa kini, pelbagai faktor yang telah mencemarkan kedudukan dan makna pendidikan seni, antaranya berpunca dari sikap diri sendiri. Selain  itu, sikap guru pendidikan seni, faktor ibu bapa, dan faktor masyarakat. Justeru, gabungan kesemua faktor ini telah menyebabkan mata pelajaran pendidikan seni itu dipandang rendah oleh sesetengah pihak. Hanya mereka yang benar benar memahami dan dapat membuat apresiasi sahaja yang melihat  bahawa seni itu tinggi martabatnya.
6.1 FAKTOR DIRI SENDIRI
Setiap individu mempunyai bakat, kemahiran, pengetahuan, dan kecerdasan yang berbeza. Sembilan kecerdasan bagi setiap manusia iaitu kecerdasan logik, matematik, muzik, kinestetik, naturalis, verbal linguistic, interpersonal, visual ruang, dan eksistensialisme (Howard Gardner).[14] Seni termasuk di dalam kecerdasan ruang visual dan naturalis di mana ianya memerlukan kepekaan dan pengamatan yang tinggi terhadap alam sekeliling. Begitu juga dengan pelajar itu sendiri mempunyai kemahiran yang berbeza-beza. Minat yang berbeza disebabkan kemahiran yang dimiliki yang tidak sama. Begitu juga dengan bidang seni. Ramai pelajar tidak berminat untuk mempelajari seni visual dan mempunyai bakat yang lain yang lebih diminati contohnya muzik ataupun kemahiran berfikir matematik. Namun demikian, bidang seni bukannya tidak boleh diasah ataupun dibina. Namun, ianya memerlukan latihan yang gigih dan berterusan bagi mendapatkan hasil yang baik. Sekiranya tiada keyakinan dan komitmen yang tinggi, maka segala bentuk kerja yang dilakukan tidak terkecuali pendidikan seni, maka hasilnya adalah tidak sebaik yang diharapkan. Sikap pelajar yang menganggap pendidikan seni adalah suatu mata pelajaran yang tidak penting kerana kurang  pendedahan yang diketahui oleh mereka. Mereka menganggap lebih baik memilih bidang kejuruteraan ataupun lebih kepada kerja makan gaji sahaja. Pendidikan seni visual juga adalah suatu bidang yang remeh disebabkan proses pembelajarannya yang rumit kerana perlu mengikut setiap langkah ataupun aturan bagi mendapatkan hasil yang diingini. Dalam tugasan pendidikan seni visual, kos penyediaan bahan dan alatannya juga adalah mahal dan memerlukan perbelanjaan yang banyak. Justeru, ramai pelajar yang kebanyakannya malas memilih mengikuti kelas pendidikan seni disebabkan kekurangan wang bagi menampung perbelanjaan dalam pembelajaran pendidikan seni visual.
6.2  FAKTOR GURU PENDIDIKAN SENI VISUAL
Ramai yang menganggap guru seni visual ibarat mengajar secara goyang kaki disebabkan pemahaman mereka terhadap kaedah pengajaran yang diamalkan oleh guru pendidikan seni itu sendiri. Dalam konteks ini, guru yang mengajar pendidikan seni secara sambil lewa dan berteraskan peperiksaan sahaja. Justeru, ramai pelajar melihat seni itu tidak penting. Kaedah guru mengajar secara lewa menyebabkan minat pelajar terhadap seni visual adalah hambar. Sikap guru seperti ini tidak seharusnya wujud bagi meningkatkan peranan seni visual di sekolah. Terdapat juga guru pendidikan seni hanya mementingkan perniagaan dari mengajar di dalam kelas. Kebanyakan mereka menjual peralatan seni kepada pelajar dengan harga tinggi dan memaksa  pelajar untuk membelinya. Sikap yang demikian menyebabkan pelajar merasakan seni ini hanya menyusahkan merreka sahaja. Selain itu, tugasan yang mereka beri kepada pelajar adalah terlalu membebankan. Hal ini menyebabkan pelajar itu sendiri tidak dapat mengulangkaji pelajaran lain. Hampir separuh masa di sekolah digunakan untuk tugasan seni dan ketiadaan masa lain untuk mengulangkaji mata pelajaran lain. Kaedah pelaksanaan masa oleh guru itu sendiri adalah tidak betul dan membebankan pelajar. Guru pendidikan seni juga sebilangannya mahukan tugasan yang diberikan adalah mengikut citarasanya dan mengekang proses kreativiti  dari pelajar itu sendiri. Kebanyakan guru tersebut membuat perkiraan keadaan yang salah di mana mereka menganggap pelajar itu perlu menurut secara terang terangan dan menghalang proses kreativiti dari pemikiran minda pelajar berlaku. Malahan sebilangan karya yang dihasilkan oleh pelajar juga tidak dihargai apabila kurang mencapai matlamat yang diingini oleh mereka. Mereka memandang rendah potensi pelajar tersebut dan menyebabkan minat mereka terpadam dan mula menganggap seni itu suatu yang susah. Di sekolah  di Malaysia, terdapat guru mata pelajaran lain yang mengajar seni. Dalam erti kata lain, terdapat  orang yang tidak berhak diberikan  tanggungjawab yang tidak layak bagi mereka. Menurut hadis Rasulullah S.A.W apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kiamatnya (kerosakan). Hadis  ini secara terang terangan menyatakan hak dan tangungjawab seorang ketua atau pun dalam konteks guru adalah pemimpin. Justeru, kekurangan ilmu, ketiadaan tarbiah dan pendidikan dalam diri menyebabkan objektif utama pembelajaran tidak akan berlaku. Guru yang diamanahkan mengajar mata pelajaran seni itu sendiri tidak komited dalam menjalankan tugas disebabkan opsyen mereka adalah mata pelajaran lain. Terdapat sebilangan mereka adalah tenaga pengajar daripada mata pelajaran lain seperti sains, bahasa melayu, matematik, sejarah dan hanya sedikit yang mempunyai pengetahuan minor seni semasa mereka menuntut di universiti  ketika dulu. Di sebabkan masalah itu berlaku, kebanyakan mereka hanya mengajar seperti melepaskan batuk di tangga dan hanya mengharapkan mereka mendapat tahap kepujian apabila menghadapi peperiksaan kelak. Selain itu, guru yang mengajar pendidikan seni turut sama mempunyai komitmen lain semasa di sekolah. Kebanyakan guru yang mengajar seni telah diberi kepercayaan oleh pengetua dan pihak pentadbiran untuk menguruskan hal-hal yang tiada kaitan dengan seni. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan kelas semata-mata ingin menjalankan  tanggungjawab yang diberikan oleh pihak pengurusan. Justeru, berlakulah pembaziran masa apabila tidak berlakunya proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas disebabkan ketiadaan guru. Selain dari itu, terdapat juga sikap guru yang tidak menggunakan kemudahan yang diberikan oelh pihak sekolah kepada mereka dengan sebaik mungkin. Antaranya kemudahan bilik seni. Guru panatia itu sendiri tidak memainkan peranan untuk menghidupkan bilik seni itu sendiri. Maka objektif proses pembelajaran pendidikan seni tidak akan berlaku 100 peratus disebabkan tidak menggunakan kemudahan bilik seni. Banyak kemudahan dalam bilik seni yang tidak digunakan dan kebanyakan proses penghasilan sesuatu karya seperti mencanting batik tidak sesuai berlaku di dalam kelas. Hal ini menyebabkan banyak proses penghasilan tidak dapat dilakukan dan kebanyakan proses pembelajaran adalah secara teori sahaja.
6.3 FAKTOR IBU BAPA
Ibu bapa merupakan pemegang tanggungjawab yang tetap kepada anak anak mereka. Sikap ibu bapa yang sempit fikirannya menyebabkan pembelajaran seni visual menjadi suram. Ini kerana, ibu bapa itu sendiri tidak didedahkan dengan makna seni visual itu sendiri. Kebanyakan tanggapan mereka seni visual hanya melukis dan mereka menganggap artis tidak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka lebih menganggap bidang sains, kejuruteraan ataupun arkitek lebih menguntungkan anak mereka disebabkan pasaran kerja yang tinggi. Kurangnya pendedahan tentang seni menyebabkan mereka lebih melihat kepada nilai pasaran kerja sahaja. Ibu bapa tidak memberi sokongan kepada anak mereka yang meminati seni , maka seni visual tidak akan hidup. Kebanyakan ibu bapa memaksa anak mereka supaya mengikuti pelajaran sains dan matematik semasa di sekolah. Hal ini menyebabkan minat yang mendalam tentang seni yang tidak diasah akan terpadam dan menyebabkan mereka merasakan seni itu tidak penting lagi. Bagi ibu bapa, mereka merasakan seorang pelukis tidak akan kemana dan menganggap seni hanyalah melukis sahaja. Mentaliti mereka tentang seni adalah rendah dan menyebabkan tanggapan mereka tentang seni adalah berbeza sama sekali. Justeru hal ini sekaligus melumpuhkan usaha untuk menjadikan seni adalah salah satu cabang kerjaya pada masa hadapan.
6.4 FAKTOR MASYARAKAT
Pada hari ini, mentaliti masyarakat di negara ini terhadap seni visual adalah rendah berbanding negara negara maju. Sebagai contoh di Amerika syarikat, masyarakat mereka menyedari bahawa kepentingan seni visual adalah tinggi. Mereka sanggup menghantar anak anak mereka mempelajari setiap hasil kerja tangan berasaskan kemahiran kerana menganggap pelajaran secara teori sahaja tidak memadai dalam menghadapi kehidupan pada masa sekarang. Apabila membicarakan tentang seni, masyarakat umumnya lebih tertarik dengan seni yang lebih popular seperti seni muzik mahupun seni lakonan. Ianya adalah bertitik tolak daripada pendedahan yang meluas diterima menerusi  kedua-dua cabang seni tersebut. Lantaran itu, seni muzik dan seni lakon ini mempunyai impak yang banyak keatas masyarakat.. Nama-nama kecil dan besar seorang penyanyi ataupun artis yang menguasai bidang tersebut begitu mudah meniti di bibir masyarakat, baik anak kecil, mahupun golongan yang lebih tua. Contohnya apabila kita bertanyakan tentang Allahyarham P.Ramlee, Allahyarham Sudirman, Dato` Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Rosyam Nor, Saiful Apek. Kebanyakan mereka semuanya tahu bahawa nama tersebut kerana nama tersebut adalah  artis pujaan mereka. Namun begitu, apabila memperkatakan tentang seni visual, ianya seakan akan tidak wujud. Justeru, masakan pula mereka dapat mengenali tokoh-tokoh dalam seni visual seperti Pablo Picasso, Aristottle, Plato, Al Ghazali, Leonardo Da Vinci,  Michaelangelo, Peter Harris,  Dato` Syed Ahmad Jamal dan ramai lagi. Hanya sebilangan mereka sahaja yang mengetahui. Ada yang bertanya apakah itu seni visual. Seolah pertanyaan mengenai seni itu tidak penah didengari oleh mereka. Maka tidak hairanlah anak anak mereka cukup tidak meminati mata pelajaran seni di sekolah disebabkan tiadanya pendedahan dari kehidupan bermasyarakat. Walaupun sebenarnya seni itu  telah wujud lebih awal dalam  kalangan masyarakat, namun mereka merasakannya sebagai suatu cabang seni yang terletak pada kelas kedua. Hanya golongan tertentu sahaja yang benar-benar menghayati seni visual dalam ertikata penghayatan estetika selayaknya. Walaupun kewujudan seni visual adalah seusia dengan peradaban manusia, namun masyarakat di Malaysia masih memandang sinis akan kepentingannya di dalam membentuk nilai-nilai kemanusiaan dan budaya bangsa. Dahulunya seni visual ini  lebih dikenali sebagai Seni Lukis dan Pertukangan/ Pekerjaan Tangan di era sebelum merdeka sehinggalah beralih kepada Seni Visual sejak kebelakangan ini, namun martabatnya masih ditakuk yang lama. Lantaran itu, sejajar dengan hasrat untuk membentuk warga negara yang tahu menghargai budaya, mempunyai nilai-nilai yang tinggi dalam norma kemasyarakatan yang luhur berpaksikan kepada Rukun Negara, maka agen perubahan demi perubahan dilakukan ke dalam  kurikulum pendidikan negara. Perubahan ini merangkumi pelbagai mata pelajaran di sekolah yang bermula dengan peringkat rendah persekolahan sehinggalah ke peringkat yang tertinggi. Perubahan ini turut merangkumi mata pelajaran Pendidikan Seni yang dianggap  dapat mengangkat martabat seni visual khasnya ke suatu kedudukan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Di samping itu, ia juga boleh menjadi serampang dua mata sebagai usaha membentuk minda kelas pertama bagi setiap  masyarakat Malaysia, dan menggalakkan wujudnya pemikiran seni dari sudut estetikanya disamping mampu mengangkat darjat dan peranan seni visual di dalam pembentukan  asas ketamadunan  negara  Malaysia.

7.0 LANGKAH LANGKAH MENGATASI MASALAH
Walaupun masalah ini tidak mampu diselesaikan sekaligus disebabkan banyaknya cabaran, namun sebagai seorang guru pendidikan seni pada era globalisasi, kita seharusnya faham dan memahami tentang seni visual itu sendiri. Komitmen yang tinggi amat diperlukan bagi memberi suatu kefahaman kepada setiap golongan lapisan masyarakat dalam memahami konsep pendidikan seni visual dan langkah mengatasinya.
7.1 MENDEDAHKAN SENI DAN KERJAYA
Pembabitan pelajar ke dalam bidang lain adalah disebabkan terdapatnya potensi mendapat kerja. Kebanyakan pelajar hanya melihat kerjaya orang mempelajari pendidikan seni visual adalah untuk melatih diri menjadi seniman, pelukis jalanan dan sebagainya, mentaliti ini sepatutnya dihapuskan sama sekali. Perkembangan dunia pada hari ini menyebabkan keperluan hidup juga berubah dan ianya menyebabkan mata pelajaran seni itu masih relevan dengan persekitaran di Malaysia. Kita seharusnya melihat suatu proses pembelajaran adalah untuk mengembangkan potensi yang ada dalam diri bukan hanya kepada subjek sains dan matematik tetapi secara menyeluruh dalam diri kita. Dalam sukatan pelajaran pendidikan seni itu sendiri, tujuan utama seni di ajar adalah untuk memberi peluang kepada pelajar memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain. Mata pelajaran seni visual ini wajib bermula dari tahun satu sekolah rendah sehinggan tingkatan tiga sekolah menengah. Manakala bagi menengah atas, ianya menjadi elektif iaitu pilihan.[15] Penyediaan sukatan ini adalah yang terbaik dalam menjadikan pelajar itu bersedia untuk menerima tugasan ketika di universiti. Untuk mendapatkan kursus kemahiran melukis dan kreativiti tinggi, mereka perlu memahami dan membuat persediaan awal dan bukan hanya sekadar memenuhi syarat untuk layak memasuki universiti. Proses penggabung jalinan antara mata pelajaran seni dan mata pelajaran lain akan memberikan kelebihan kepada pelajar dalam mendapatkan kerjaya yang diingini. Kebanyakan kerjaya dalam dunia pada hari ini memerlukan sains dan teknologi. Menurut kajian yang pernah dilakukan, terdapat lebih 120 kerjaya yang berkaitan dengan kemahiran seni visual. Justeru tidak hairanlah seni itu menjadi penggabungjalinan antara mata pelajaran lain. Namun, disebabkan sikap manusia itu sendiri yang kurang peka dan tidak mahu mengambil tahu, mereka mudah memberi alasan untuk mengetepikan mata pelajaran ini dari diambil  bersama mata pelajaran sains walaupun telah diselaraskan bahawa semuanya berkonsepkan sijil terbuka. Penerimaan sekolah tertentu juga dengan tidak memasukkan mata pelajaran pendidikan seni visual sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah adalah amat mendukacitakan. Apabila perkara ini berlaku maka saranan oleh kerajaan tidak akan sampai. Alasan utama pihak sekolah adalah masa tidak mencukupi untuk mata pelajaran lain. Di sini, guru seni harus memainkan peranan dengan mengajar semasa waktu cuti ataupun setelah masa kelas rasmi berakhir. Kesangggupan guru mengajar merupakan satu bonus kepada pelajar untuk memperoleh pengetahuan.

7.2 MENGUBAH TANGGAPAN BAHAWASANYA SENI ADALAH UNTUK REMAJA DAN KANAK-KANAK
Seperti yang kita sedia maklum, seni merupakan suatu perasaan dan emosi dan menggalakkkan proses kreativiti berlaku. Maka, bukan hanya kanak kanak mahupun remaja sahaja yang terlibat. Menerusi pendedahan awal pendidikan seni, kanak-kanak terutamanya digalakkan membuat projek mengikut kreativiti mereka dan menggalakkan mereka mengikut rentak tersendiri. Mereka hanya memerlukan ruang hidup (lebensraum). Namun bagi remaja, seni dapat memberikan mereka kebebasan pada karya yang dihasilkan. Ini bermakna, kemahiran berfikir mereka adalah tinggi dan berfikir di luar kotak yang kuat. Eisner  dalam  rencananya bertajuk Structure and Magic in  Discipline Based  Art Education dalam Al Hurwitz (1991) m.s.17  menyatakan pentingnya pengalaman  yang cukup  dalam  pembinaan  konsep  amalan  pendidikan.[16]  
Terdapat empat perkara penting yang kita lakukan dengan seni iaitu menghasilkan, melihat, memahami, dan terakhir sekali penilaian. Namun demikian, kepentingan sekarang adalah menukar mentaliti bahawa seni itu adalah untuk semua peringkat lapisan masyarakat. Hal ini kerana seni merupakan subjektif iaitu melibatkan perasaan. Tidak mungkin setiap individu di dalam dunia ini tidak mempunyai perasaan. Mereka tidak sedar bahawa dalam hidup ini, keindahan merupakan perasaan dan setiap individu itu mempunyai perasaan. Justeru tidak mugkin keindahan adalah untuk kanak kanak dan remaja sahaja.

7.3  PENYESUAIAN SUKATAN PELAJARAN MENGIKUT SITUASI SEMASA
Akhir-akhir ini, kebanyakan gubahan soalan peperiksaan adalah begitu optimum. Kebanyakan peperiksaan adalah berdasarkan skop dalam sukatan.  Contohnya pada tahun 2006,  tugasan kertas 3 adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dari segi reka bentuk hiasan dalaman menggunakan aplikasi komputer. Walaupun ianya nampak berat namun, kerana skopnya yang rendah dan bersesuaian dengan mentaliti pelajar spm, ianya mudah dilakukan. Tujuan utama gabungan tersebut adalah untuk mendedahkan pelajar kepada penggunaan komputer dan perisian dan memastikan seni visual turut sama membangun selaras dengan perkembangan ict di negara ini. Gabungan rekaan grafik komputer ini sekaligus memadamkan bahawa seni hanya menggunakan pensil sebagai medium penyampaian tetapi telah maju selangkah kehadapan menggunakan perisian komputer. Contohnya Adobe Illustrator, AutoCad, dan Adobe Photoshop.
7.4 WUJUDKAN STANDARD KEMAHIRAN DAN PENCAPAIAN PELAJAR DI SEMUA PERINGKAT  SEKOLAH   DAN    INSTITUT   PENGAJIAN   TINGGI
Setiap pelajar akan diuji dengan kemahiran yang dipelajari. Begitu juga dengan mata pelajaran seni visual. Setiap pelajar diuji  berdasarkan standart minimum mengikut tahap. Sekiranya SPM, mereka akan diuji melalui hasil jualan produk atau karya yang dihasilkan. Contohnya, apabila mereka membuat kerja ukiran, batik, catan, tenunan, anyaman, cetakan, dan sebagainya, karya tesebut dijual. Sekiranya laku maka ianya boleh dipaten dan dikomersilkan. Hal ini sekaligus akan dapat meningkatkan tahap pencapaian dan medatangkan sumber kewangan kepada pelajar dengan menjadi usahawan muda. Hasil jualan produk boleh digunakan bagi membeli alatan dan bahan seni lain. Kemahiran ini apabila diasuh  akan dapat meningkatkan tahap profesionalisma dalam diri mereka sekaligus menjadi salah satu sumber sampingan dewasa kelak. Apabila mereka telah mencapai tahap yang dikehendaki, maka mereka akan dapat menjadi salah seorang usahawan ataupun seniman melalui hiasan dalaman, batik arca ukiran dan sebagainya.
Namun, apabila pelajar tingkatan lima yang masih tidak mampu membuat kajian warna, mungkin kita perlu membantu dan tidak meletakkan kesalahan tersebut timbul disebabkan sisitem pelajaran yang hanya berorientasikan peperiksaan sahaja. Hal ini disebabkan semasa tingkatan tiga pendidikan seni tidak diuji. Sebarang bentuk penilaian yang ingin dijalankan adalah secara berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik dalam sesuatu karya ataupun produk.






















8.0       KESIMPULAN
Dapat disimpulkan bahawa, pendidikan seni mempunyai masa depan yang cerah dari segi pengajarannya kerana ianya meliputi gaya hidup, budaya, pemikiran dan penyesuaian kepada semua lapisan masyarakat. Definisi seni itu sendiri telah bermakna keindahan. Justeru manusia dilahirkan untuk menyukai keindahan alam ciptaan yang maha Esa. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap insan di dunia ini untuk menghargai apa yang dianugerahkan.
Pendidikan seni itu sendiri meliputi semua aspek kehidupan. Kematangan pemikiran masyarakat diharap akan dapat meningkatkan mata pelajaran seni visual di mata masyarakat.  Masalah yang timbul ekoran daripada sikap manusia itu sendiri. Justeru, langkah strategik yang diharapkan seperti mendedahkan seni dengan kerjaya,, mengubah tanggapan masyarakat, menyesuaikan sukatan pelajaran pendidikan seni visual mengikut keadaan semasa dan mewujudkan standart kemahiran di peringkat sekolah dan peringkat institute pengajian tinggi diharap akan dapat mengubah masa depan pendidikan seni visual.






















9.0 BIBILIOGRAFI
http://sss1042-ssl2012.blogspot.com/  Ahad , 20 November 2011, 0100
http://shydatulhushna.blogspot.com/  Jumaat, 26 November 2011, 2200
http://ms.wikipedia.org/wiki/Seni_tampak Jumaat, 2 Disember 2011,2300
http://notasenivisual.blogspot.com/ Jumaat, 2 Disember 2011, 2300
http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=seni Sabtu, 3 Disember 2011, 0100



[1] http://notasenivisual.blogspot.com
[2] http://colourexist.blogspot.com/2011/01/pengenalan-seni-definisi-seni-definisi.html
[3] http://shydatulhusna.blogspot.com
[4] http://prpm.dbp.gov.my/search.aspx?k=seni
[5] http://notasenivisual.blogspot.com
[6] http://ms.wikipedia.org/wiki/seni_tampak
[7] Hasan Haji Hamzah,haji.,(1996).Ensiklopedia Malaysiana, Malaysia: Anzagain Sdn. Bhd.
[8] http://notasenivisual.blogspot.com
[9] ibid
[10] ibid
[11] Wednesday Art Group ditubuhkan di Kuala Lumpur bertujuan untuk memperkenalkan estetika dan cara seni lukis moden kepada guru dan pelukis muda tempatan yang berminat.
[12] Penyata Rahman Talib diwujudkan adalah untuk memberi penekanan tentang pentingnya kurikulum sebagai asas perpaduan selain daripada kepentingan kurikulum sekolah yang disesuaikan dengan keadaan dan keperluan negara.
[13] http://www.facebook.com/topic.php?uid=168938871547&topic=10977
[14] 9 jenis kecerdasan yang berbeza sebagai satu cara untuk mengukur potensi kecerdasan manusia, kanak-kanak dan dewasa.
[15] http://www.pendsv.smkrajaperempuanipoh.com/HSP/sp_pseni_kbsm.pdf
[16] http://www.scribd.com/doc/44519174/Memartabatkan-Mata-Pelajaran-Pend-Seni-Visual